Guna telefon pintar lebih mudah - Utusan Malaysia

Guna telefon pintar lebih mudah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Jan. – Kehadiran pelbagai jenis telefon pintar dengan harga berpatutan di pasaran sekarang menjadikan kerja seharian lebih mudah bagi seorang pengamal media.

Namun, tanpa mengetahui jenis aplikasi dan cara penggunaannya yang betul, telefon pintar yang bernilai tinggi itu hanya akan menjadi alat komunikasi asas semata-mata.

Sehubungan itu, syarikat perunding latihan media, Sibermedia Sdn. Bhd. (Sibermedia), akan menganjurkan satu klinik teknikal sehari bagi pengamal-pengamal media mahupun mereka yang berada dalam kelompok media untuk menggunakan telefon pintar yang betul dan berkesan.

Penolong Pengurus Latihan Sibermedia, Mohd. Hazli Hassan berkata, Klinik Kewartawanan Mudah Alih (Mobile Journalism) yang akan diadakan pada 31 Januari itu akan menitikberatkan penggunaan telefon bimbit dengan aplikasi tertentu dalam melakukan kerja-kerja kewartawanan.

“Selain rakaman suara, kini, pengamal media tidak kira mereka yang bertugas dengan syarikat akhbar, TV mahupun portal atau penulis blog amat memerlukan teknik yang betul merakam foto dan video.

“Melalui bengkel sehari ini, tenaga pengajar kami yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam industri akan menunjukkan cara yang betul melakukan rakaman dari sudut seorang wartawan dan yang lebih menarik, suntingan juga akan diajar.

“Dan bertepatan dengan tajuk kewartawanan mudah alih, bengkel sehari ini akan menunjukkan cara-cara berkenaan hanya menggunakan telefon pintar sahaja. Tidak ada komputer riba mahupun kompter peribadi yang akan digunakan. Semuanya mudah alih,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Menurut Mohd. Hazli lagi, dengan penggunaan telefon pintar untuk rakaman foto dan video selain suntingan yang akan dilakukan, ia akan memudahkan pengamal media dalam melakukan tugas seharian.

Malah katanya, semua kerja-kerja itu boleh dilakukan lebih pantas di mana-mana tanpa perlu berada di lokasi khusus 24 jam sehari.

“Apa yang perlu, telefon pintar perlu mempunyai bekalan kuasa dan data yang mencukupi,” katanya.

Selain rakaman dan suntingan foto serta video, Bengkel Kewartawanan Mudah Alih itu juga akan menunjukkan cara-cara betul untuk melakukan Facebook Live yang lebih berkesan dan tepat.

Dengan cara yang ditunjukkan itu kelak kata Mohd. Hazli, ia akan membolehkaan capaian pelayar media sosial pengamal media itu naik mendadak dan memberikan motivasi kepada para petugas untuk berkerja dengan lebih baik.

Bengkel Kewartawanan Mudah Alih ini akan diadakan dari pukul 9 pagi hingga 5 petang di mana sarapan, makan tengah hari dan minum petang selain sijil akan disediakan kepada peserta.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai yang berminat menyertai bengkel ini boleh menghubungi Maria di 011-57678055 atau Emma di 03-92322680 atau melayari laman web Sibermedia di www.sibermedia.my atau e-mel [email protected].
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN