Guna sijil halal syarikat pembekal, premis makanan dikompaun - Utusan Malaysia

Guna sijil halal syarikat pembekal, premis makanan dikompaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON – Sebuah premis makanan di Lukut dekat sini dikenakan kompaun selepas didapati mempamerkan sijil halal syarikat pembekal yang telah tamat tempoh pada tahun 2016.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Zubir Hamsa berkata, pemilik restoran meletakkan sijil halal di hadapan restoran bertujuan memperdaya atau mengelirukan pelanggan beragama Islam untuk membeli makanan yang dianggap halal.

“Mana-mana premis yang menggunakan apa-apa petunjuk yang mempamerkan makanan tersebut boleh dimakan orang Islam, sedangkan ianya diketahui palsu, merupakan satu kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu.

“Premis hari ini didapati bersalah kerana mempamerkan sijil halal syarikat pembekal yang telah tamat tempoh di restoran dan dikenakan tindakan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) di mana jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu,” katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan premis makanan di sini, hari ini.

Pemeriksaan berkenaan melibatkan 12 pegawai penguat kuasa KPDNHEP negeri dan enam pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Beliau berkata, operasi yang bermula 12 Januari lepas sehingga hari ini telah memeriksa sebanyak 119 restoran di seluruh negeri ini dan empat daripadanya telah dikenakan kompaun yang dikeluarkan oleh KPDNHEP Negeri Sembilan.

“Antara kesalahan-kesalahan yang dikesan sepanjang operasi ini adalah menggunakan logo halal syarikat pembekal bahan mentah dan mempamerkan Tauliah Sembelihan JHEAINS yang bukan milik premis makanan tersebut,” katanya.

Para peniaga diingatkan supaya tidak menggunakan logo halal, sijil halal atau mempamerkan apa-apa perakuan tanpa kebenaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta penggunaan sijil atau logo halal hanya untuk pemegang sijil halal sahaja. Jadi, penggunaannya oleh peniaga yang bukan pemegang sijil halal adalah satu kesalahan,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×