Guan Eng tidak ambil iktibar - Najib - Utusan Malaysia

Guan Eng tidak ambil iktibar – Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Jan. – Kenapa Kementerian Kewangan perlu serang Pahang?

Persoalan itu ditimbulkan Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan kenyataan media terbaharu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menerusi saluran rasmi kementerian berhubung hutang Kerajaan Negeri Pahang hari ini.

Menerusi hantaran dalam akaun Facebook rasmi bekas Perdana Menteri itu, Najib menzahirkan rasa kesal dengan tindakan Guan Eng yang didakwa beliau terus menyalahgunakan saluran rasmi kementerian ketika berlangsungnya kempen Pilhan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

Najib yang juga bekas Menteri Kewangan mengingatkan Guan Eng bahawa tugas Kementerian Kewangan ialah menjaga kewangan dan kesihatan ekonomi negara, bukannya bermain propaganda politik.

“Mengapa Kementerian Kewangan perlu menyerang negeri Pahang? Bukankah negeri Pahang merupakan sebahagian daripada Malaysia?

“Ini Kementerian Kewangan Malaysia, bukan Kementerian Kewangan DAP atau pun Kementerian Kewangan Lim Guan Eng,” sindir Najib.

Guan Eng menerusi kenyataan media Kementerian Kewangan hari ini menafikan kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bahawa hutang kerajaan negeri sehingga 31 Disember tahun lalu adalah RM760 juta dengan menyifatkannya sebagai tidak berasas.

Sebaliknya, Guan Eng menerusi kenyataan itu bertegas bahawa Kerajaan Negeri Pahang mencatatkan hutang paling tinggi sebanyak RM3.178 bilion kepada Kerajaan Persekutuan sebagaimana dijelaskan dalam kenyataan awal kementerian pada Selasa lalu.

Mengulas lanjut, Najib hairan dengan Guan Eng yang tidak mengambil iktibar daripada komen negatif diterima kementerian berikutan paparan hutang Kerajaan Negeri Pahang pada Selasa lalu.

“Walaupun dikecam dengan hampir 3,000 komen negatif daripada rakyat berkaitan paparan hutang negeri Pahang yang sama pada hari Selasa, Kementerian Kewangan tidak mengambil iktibar dan tidak menghirau suara rakyat.

“Mereka buat sekali lagi petang ini,” ujar Najib. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN