GSK Runners agih pakaian percuma - Utusan Malaysia

GSK Runners agih pakaian percuma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 17 Jan. – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Geng Stadium Keladi (GSK) Runners mengambil inisiatif menganjurkan program agihan pakaian terpakai secara percuma di Tasik Putra, Kulim pada 12 dan 13 Januari lalu.

Ternyata program tersebut yang berlangsung selama dua jam bermula pukul 5.30 petang itu menarik perhatian orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat yang hadir bagi memilih pakaian yang masih dalam keadaan baik.

Pengasas GSK Runners, Mohamad Farid Yusoff berkata, NGO terbabit yang ditubuhkan pada tahun lalu itu bukan sahaja memfokuskan kepada sukan larian semata-mata sebaliknya banyak melakukan kerja-kerja amal.

Beliau berkata, pihaknya juga mendapat sokongan dalam kalangan masyarakat apabila mereka turut menyumbangkan pakaian untuk diagihkan kepada golongan memerlukan pada program itu.
 
“Objektif utama program ini adalah untuk memberi semangat kepada golongan yang memerlukan kerana mereka masih lagi mempunyai ruang dan peluang serta diberi perhatian khususnya daripada golongan belia.

“Program ini mendapat sambutan yang baik dalam kalangan masyarakat apabila mereka juga memberikan pakaian terpakai untuk dimanfaatkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, walaupun terlibat dengan pelbagai aktiviti sukan namun GSK Runners juga melakukan kerja-kerja kebajikan selaras dengan objektif penubuhannya.

Dalam pada itu, katanya, GSK Runners juga ingin membawa budaya baharu dalam kalangan belia supaya melibatkan diri dengan kerja kebajikan secara berkumpulan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×