KUALA LUMPUR 25 Jan. – Jaguh golf negara, Gavin Green akan mengetuai cabaran 13 pemain negara di Maybank Championship yang bakal diadakan bermula 21-24 Mac di Saujana Golf & Country Club, dekat ini.
Kejohanan bernilai AS$3 juta (RM12.39 juta) itu akan turut disertai Ben Leong dan Nicholas Fung berdasarkan pencapaian mereka di dalam siri Jelajah Asia.
Turut beraksi di kejohanan edisi kali ini ialah Pemain Terbaik Persatuan Golf Profesional Malaysia (PGM), Shahriffuddin Ariffin; Danny Chia, Amir Nazrin, Sukree Othman, Kim Leun Kwang, Arie Irawan, R. Nachimuthu, Wilson Choo, Kenneth De Silva, dan Kemarol Baharin.
Pengarah Maybank, Datuk R. Karunakaran berkata, Maybank Championship merupakan pertandingan yang akan menampilkan kelompok 60 pemain terbaik dalam siri Jelajah Eropah dan Asia selain 15 pemain dalam kelompok 150 terbaik dunia.
“Kami tidak pernah mengabaikan komitmen kami terhadap pembangunan pemain tempatan, atas dasar itu kami menyediakan tempat untuk 10 pemain terbaik Malaysia agar mereka berpeluang menerima pendedahan beraksi di kejohanan bertaraf dunia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Maybank Championship merupakan peluang terbaik Green untuk memberikan impak bukan sahaja dalam saingan Jelajah Eropah tetapi juga di peringkat domestik.
Aksi cemerlang juga dijangka hadir daripada pemain lain termasuk Leong selain Fung yang menjadi pemain Malaysia paling konsisten dalam saingan di dalam benua Asia.-UTUSAN ONLINE











