Geng G Credit tawar pinjaman wang tidak wujud tumpas - Utusan Malaysia

Geng G Credit tawar pinjaman wang tidak wujud tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI – Kegiatan licik sindiket Geng G Credit memperdaya mangsa menawarkan pinjaman wang tidak wujud melibatkan kerugian RM1.302 juta akhirnya tumpas apabila 11 ahlinya diberkas dalam dua serbuan di Taman Bukit Indah di sini, Ahad lalu.

Dalam operasi bermula pada pukul 10 malam itu, kesemua suspek yang diberkas terdiri daripada tujuh lelaki dan empat wanita termasuk dua remaja berusia antara 17 hingga 28 tahun.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, hasil siasatan ke atas sindiket menggunakan Syarikat G Credit (Malaysia) Sdn. Bhd. ini tidak wujud bagi memperdayakan mangsa dan mereka beroperasi dipercayai sejak enam bulan lalu membabitkan 162 kes.

“Mereka menggunakan modus operandi menjalankan iklan di media sosial seperti facebook dan menghubungi mangsa menawarkan pinjaman mudah.

“Setelah mangsa bersetuju untuk meminjam wang, suspek akan meminta dokumen peribadi bagi tujuan kononnya untuk memproses pinjaman terbabit,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, suspek kemudiannya menghubungi mangsa memberitahu pinjaman diluluskan dan mangsa perlu membayar wang sehingga RM5,000 bagi urusan duti setam sebelum berjanji akan memasukkan pinjaman tersebut.

Jelasnya, namun malangnya selepas mangsa berbuat demikian suspek akan menghilangkan diri malah suspek juga tidak dapat dihubungi.

Menurut Dzulkhairi, selain tangkapan, polis turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan sindiket terbabit termasuk lima skrip perbualan untuk menipu mangsa, 176 surat kelulusab pinjaman, 14 cek plasi serta 12 sijil setem Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN