Gajah jantan seberat 3.5 tan ditangkap - Utusan Malaysia

Gajah jantan seberat 3.5 tan ditangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELI 10 Jan. – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menangkap seekor gajah jantan yang dikatakan telah merosakan tanaman penduduk di kawasan Kampung Bukit Selar, Kuala Balah, di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 9.15 pagi, gajah jantan seberat 3.5 tan itu berjaya ditangkap selepas pihak Perhilitan menerima maklumat kehadiran mamalia tersebut yang merosakkan kebun pisang penduduk sejak empat hari lalu.

Pengarah Perhilitan negeri, Mohd. Hasdi Husin berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk terserempak dengan haiwan tersebut di satu kawasan kebun.

“Sepasukan enam anggota bergegas ke lokasi kejadian dan memulakan operasi untuk menangkap haiwan tersebut.

“Haiwan yang mempunyai saiz tapak kaki sebesar 44 sentimeter itu berjaya ditangkap pada pukul 9.15 pagi,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Mohd. Hasdi berkata, proses pemindahan gajah itu akan dilakukan dalam masa terdekat dengan bantuan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang.

“Kita ingin menasihatkan penduduk agar tidak mengambil tindakan sendiri jika terserempak dengan haiwan liar. Seelok-eloknya segera memaklumkan pihak Perhilitan untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×