Felda United giat cari dana, selesaikan tunggakan gaji - Utusan Malaysia

Felda United giat cari dana, selesaikan tunggakan gaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN – Pihak pengurusan Felda United FC (FUFC) sedang giat mencari dana bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji para pegawai dan pemainnya.

Situasi pertama kali yang dihadapi skuad The Fighters itu menyebabkan tunggakan gaji selama tiga bulan bermula September hingga November lalu.

Presiden FUFC, Datuk Ab Ghani Mohd Ali berkata, pihaknya tidak menyangka masalah berkenaan wujud setelah kelabnya ditubuhkan sejak 11 tahun lalu.

“Ini adalah kejadian pertama yang kami lalui dan sebelum ini tidak pernah ada tunggakan gaji sama ada pegawai mahupun pemain. 

“Kami amat menjaga kebajikan mereka bagi menghargai khidmat yang dicurahkan selama ini sehingga muncul juara Liga Pemier musim ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini. 

Menurutnya, pihak pengurusan FUFC telah membuat perjumpaan dengan mereka yang telibat bagi menjelaskan situasi sebenar serta mencari jalan penyelesaian. 

“Kita juga telah membuat perbincangan dengan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam pada 21 Disember lalu bagi menjelaskan kemelut yang melanda The Fighters,” ujarnya.  

Beliau memberitahu, Ahli-ahli Lembaga Pengarah FUFC telah berjumpa dengan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) merangkap penaung kelab, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor bagi menjelaskan hasil perbincangan dengan pihak FAM. 

Sehubungan itu katanya, Megat Zaharuddin memberi jaminan untuk menyelesaikan masalah kewangan secara berperingkat dalam masa terdekat.  

“Kalau boleh kita tidak mahu masalah ini berpanjangan dan semua pihak diharap bersabar serta tidak memperbesarkan kemelut yang melanda,” jelasnya. 

Tambahnya, pihak FUFC akan menangani situasi berkenaan secara profesional agar tidak mengganggu persiapan pasukan untuk membentuk skuad yang mantap pada musim depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN