MARSEILLE 14 Jan.- Penampilan sulung Cesc Fabregas bersama kelab bergelut Ligue 1, Monaco positif apabila membantu pasukannya bangkit mengikat Marseille 1-1 di Stade Velodrome.
Fabregas yang menyertai Monaco dari Chelsea Jumaat lalu, menjadi nadi di bahagian tengah ketika membantu skuad kendalian Thierry Henry itu bangkit daripada permulaan hambar untuk mengutip satu mata hasil gol penyamaan Youri Tielemans enam minit sebelum rehat.
Bekas pemain Barcelona itu, turut mencipta peluang keemasan buat Tielemans meledak gol kemenangan dalam masa kecederaan tetapi pemain Belgium itu gagal menyempurnakan.
Ketibaan Fabregas di perairan Mediterranean Jumaat lalu adalah yang ketiga bulan ini selepas pertahanan veteran Naldo dan bek kiri bawah 21 tahun Perancis, Fode Ballo-Toure turut menyesuaikan diri dengan baik pada perlawanan itu.
Keputusan seri itu cukup baik buat pasukan yang tidak mempunyai penyerang cergas dan pemain yang cukup untuk memenuhi bangku simpanan.
Mereka kekal dalam zon penyingkiran dan ketinggalan empat mata di bawah garis selamat selepas hanya menang dua kali dalam 10 perlawanan liga sejak kedatangan Henry pada Oktober.– AFP










