LONDON – Arsenal tidak sabar untuk menamatkan rekod cemerlang Manchester United yang sudah mencatatkan tujuh kemenangan berturut-turut sejak di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer menjelang aksi pusingan keempat Piala FA awal pagi esok.
Keyakinan itu hadir berdasarkan kejayaan mereka menewaskan Chelsea 2-0 dalam saingan Liga Perdana England (EPL) minggu lalu selain perlawanan tersebut akan berlangsung di laman keramat The Gunners iaitu di Emirates.
Bagaimanapun, pengurus Arsenal, Unai Emery tetap waspada dengan ancaman yang mampu diberikan United selepas mereka seperti sudah kembali ke tahap sebenar ketika ini.
“Saya menonton perlawanan terakhir United dan dapat merasakan perbezaan ketara yang mana para pemain mereka bermain dengan penuh yakin dan amat berbahaya.
“Saya bimbang dengan situasi ini tetapi pada masa sama ia merupakan satu ujian terbaik buat Arsenal jika mahu meneruskan perjalanan dalam Piala FA.
“United dan Arsenal sudah membuat 20 penampilan di pentas final Piala FA dengan kami menang sebanyak 13 kali berbanding United cuma 12.
“Jadi, saya percaya kami juga mempunyai kebolehan kerana faktor utamanya ialah bermain di Emirates di hadapan penyokong-penyokong sendiri,” kata Emery.
Jika diukur kepada statistik, kelebihan lebih memihak kepada United yang sudah 21 kali menewaskan Arsenal daripada 42 pertemuan dalam semua kejohanan. – Agensi










