PORT DICKSON 26 Jan. – Kerajaan perlu memastikan perkembangan ekonomi digital tidak menguntungkan syarikat gergasi dan orang kaya semata-mata, sebaliknya mesti memberi manfaat besar kepada masyarakat luar bandar dan berpendapatan rendah.
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu boleh dicapai dengan memberi pendedahan menyeluruh dan mempromosi ekonomi tersebut termasuk kepada golongan nelayan dan petani untuk memajukan diri mereka.
“Kerajaan harus peka dengan perkara itu dan memastikan kemudahan itu sampai ke kawasan desa pedalaman dan estet serta memastikan usahawan yang menggunakan teknologi komunikasi maklumat (ICT) mendapat manfaat.
“Sebagai contoh, apabila nelayan dapat ikan kembung atau terubuk, dia tahu harga di Pasar Seremban atau Pasar Borong Selayang. Kalau dia tengok harga terlalu mahal, dia boleh desak peraih beri harga lebih baik. Kalau terdedah kepada ICT, kita harap pendapatan mereka akan meningkat.
“Begitu juga pemandu lori, sekarang sudah ada aplikasi, sama seperti Grab. Ia dapat tingkatkan pendapatan pemandu lori, ini sudah terbukti. Dengan cara itu pengusaha lori dapat jaringan di seluruh negara dan peluang untuk tingkatkan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Pusat Interaktif dan Penyampaian Komputer kepada 63 Sekolah di daerah ini, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan bahawa golongan pelajar tidak seharusnya bergantung kepada teknologi, namun perlu menguasai kemahiran dan ilmu asas dalam sesuatu bidang yang dipelajari.
“Kalau seorang pelajar bergantung kepada maklumat dari komputer, keupayaan membaca, berfikir dan menilai kian berkurangan. Asasnya masih lagi menyediakan anak-anak kita berfikir dan gunakan akal. Dulu kita belajar ilmu hisab atau matematik, maka dari kecil kita dilatih proses kiraan asas. Tetapi kalau kita bergantung kepada komputer keupayaan itu akan terjejas,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar mengakui beliau tidak berpeluang mengikuti perkembangan teknologi kerana banyak masanya dihabiskan di penjara dan perlu berusaha mempelajari ilmu tersebut.
“Saya mula-mula tahu tentang e-mel tetapi masuk penjara enam tahun, di penjara dulu mana ada e-mel dan telefon. Apabila keluar dari penjara saya jadi profesor di universiti dan tengok semua pelajaran dan maklumat pelajar gunakan komputer. Saya tiada pilihan dan kena belajar daripada anak-anak,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










