Ejen penghantaran, syarikat logistik didakwa seludup 10.18 juta rokok seludup - Utusan Malaysia

Ejen penghantaran, syarikat logistik didakwa seludup 10.18 juta rokok seludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Tindakan seorang ejen penghantaran bebas dan syarikat logistik menyeludup masuk 10.18 juta batang rokok pelbagai jenama, awal Januari lalu membawa padah selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari in

Tertuduh, Chia Mong Seng, 35, dan syarikat Orbit Link Logistic (M) Sdn. Bhd. yang diwakili salah seorang pengarahnya bergelar Datuk bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad ‘Azzam Zainal Abidin. 

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa dengan niat bersama terlibat dalam mengimport barangan yang dilarang pengimportannya iaitu 200,000 batang rokok jenama D-Blend, 7.79 juta batang rokok Canyon merah dan 2.19 juta rokok Canyon hijau di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017. 

Nilai kesemua rokok seludup itu ditaksirkan bernilai RM814,400.

Kesalahan itu dilakukan di lapangan pemeriksaan kontena penguatkuasaan CT1, Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pukul 12.45 tengah hari pada 4 Januari lalu. 

Justeru, mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga 20 kali ganda nilai barang atau kedua-duanya sekali. 

Pendakwaan yang dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Mohamad Syafiq Abdul Aziz kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak 100,000 bagi kedua-dua tertuduh. 

Bagaimanapun, peguam Yung Azwaire Mohammad Dahlan yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon pengurangan wang ikat jamin atas alasan kedua-dua anak guamnya hanya terlibat dalam agensi penghantaran dan mempunyai pendapatan yang sederhana serta terpaksa meminjam wang bagi membayar ikat jamin tersebut. 

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang ikat jamin sebanyak RM15,000 bersama seorang penjamin bagi setiap tertuduh dengan sebutan semula kes pada 22 Februari depan. 

Sementara itu, Kosmo! difahamkan lesen syarikat Orbit Link itu telah digantung serta-merta pada 14 Januari atas arahan Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T. Subromaniam.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 9.7 juta batang rokok putih dan 7.5 tan ‘chewing tobacco’ bernilai lebih RM8 juta termasuk cukai. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN