KANGAR 31 Jan. – Lawatan kerja dan kunjungan julung-julung kali oleh seramai 10 orang duta besar negara ahli Kesatuan Eropah (EU) yang berpangkalan di Kuala Lumpur ke negeri ini selama tiga hari pada 21 sehingga 23 Januari lalu, telah meninggalkan kenangan manis buat mereka.
Selain Duta EU ke Malaysia, Maria Castillo Fernandes yang mengetuai lawatan itu, duta lain yang terlibat ialah duta dari Romania, Hungary, Croatia, Australia, Jerman, Perancis, Poland, Sepanyol dan Republik Chech.
Bagi Duta Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche, pengalaman mengayuh basikal, melihat pemandangan menarik sawah padi di sekitar negeri ini merupakan antara detik paling bermakna baginya.
Katanya, ia merupakan salah satu program mereka dalam lawatan tersebut bersama Raja Muda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bagi bertemu rakyat dan memberikan bantuan.
“Terima kasih baginda (Tuanku Syed Faizuddin) kerana membuka ruang kepada kami untuk bersama mendekati masyarakat di Perlis,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Pengalaman sama itu turut dikongsi Duta Poland ke Malaysia, Krzysztof Debnicki yang mengakui teruja mengunjungi Perlis yang terkenal dengan keindahan alam semula jadinya.
Katanya, mengayuh basikal memasuki kawasan-kawasan kampung merupakan aktiviti yang menarik selain membolehkan mereka mengenali Perlis dengan lebih dekat lagi.
“Kami dapat melihat sendiri bagaimana baginda mendekati rakyat dan difahamkan mengayuh basikal dan memberi bantuan kepada penduduk di kampung-kampung menjadi rutin baginda,” katanya.
Sementara itu, delegasi tersebut turut menyempurnakan syarahan umum di pelbagai institusi pengajian tinggi serta sekolah-sekolah menengah terpilih di negeri ini.
Syarahan tersebut adalah bagi memperkenalkan negara mereka, berkongsi maklumat mengenai hubungan dua hala dengan Malaysia serta pengalaman serta amalan baik sistem pendidikan negara masing-masing.
Ahli delegasi turut dibawa merasai pengalaman menelusuri Sungai Perlis dari Jeti Kampung Tok Kuning hingga ke muara Kuala Perlis yang berpotensi diketengahkan sebagai produk pelancongan baharu di negeri ini.
Selain itu, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid turut berkenan menerima kunjungan menghadap hormat oleh duta-duta besar terbabit di Istana Arau.
Ketika bertitah dalam pertemuan tersebut, Tuanku Syed Sirajuddin berkongsi pandangan mengenai pelbagai potensi kerjasama yang dapat dilaksanakan di antara negara-negara Eropah dengan Perlis khususnya dalam aspek pelaburan, pendidikan, pelancongan dan pertanian.











