SHAH ALAM – Dua rakan maut apabila motosikal yang ditunggangi mereka dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) ketika keluar dari simpang di Persiaran Hulu Langat di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi itu, Siti Mukarromah Mohd. Jaizun, 20, dan Nazirah Mohd. Halid, 22, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Superintenden Azman Shari’at berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian tersebut berlaku ketika motosikal jenis Honda Dash dinaiki dua mangsa itu cuba membelok ke kanan untuk memasuki simpang.
Bagaimanapun, katanya, pada masa sama sebuah SUV jenis BMW X3 dipandu lelaki berusia 32 tahun dari Persiaran Sepang gagal mengelak motosikal tersebut ketika memasuki simpang yang sama.
“Akibatnya, SUV berkenaan telah merempuh motosikal mangsa menyebabkan kedua-duanya tercampak ke atas jalan raya.
“Penunggang dan pembonceng motosikal itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azman berkata, mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut.
“Pemandu SUV bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE










