SHAH ALAM – Kegiatan dua lelaki termasuk seorang remaja yang berjinak dalam pengedaran dadah sejak empat bulan lalu berakhir selepas ditahan dalam dua lokasi berasingan di daerah ini semalam.
Kedua-dua mereka yang berusia 19 dan 29 tahun itu diberkas di antara pukul 12.15 tengah malam dan 11.45 pagi di tepi jalan Nagasari A dan Jalan Batu 8, Kampung Jawa dengan masing-masing di Seksyen 36 di sini.
Nilai keseluruhan rampasan dadah terhadap kedua-dua suspek adalah berjumlah RM10,000.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, tangkapan pertama dilakukan hasil rondaan cegah jenayah dari anggota Balai Polis Taman Sri Muda terhadap suspek berusia 29 tahun itu.
Katanya, hasil pemeriksaan terhadap beg silang warna hitam dipakai suspek menemui 13 paket lutsinar berisi bahan serbuk berwarna putih disyaki dadah jenis heroin seberat 26.58 gram (g)
“Turut dirampas adalah sepaket plastik lutsinar berisi bahan kristal disyaki dadah jenis Syabu seberat 1.42g.
“Hasil ujian air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah jenis morfin serta mempunyai empat rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, tangkapan kedua terhadap remaja berkenaan menemui 12 paket dadah jenis heroin seberat 17.7g di poket seluar pendek dipakai suspek.
Jelas Baharudin, suspek yang positif dadah jenis ganja itu mempunyai 23 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.
“Kedua-dua suspek itu didapati bergerak aktif mengedar dadah di sekitar daerah ini dan Klang di antara tiga hingga empat bulan.
“Mereka kini masing-masing direman selama tujuh dan lima hari mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sementara itu, Baharudin turut menjelaskan pihaknya berjaya menangkap 11 penagih dadah berusia 18 hingga 40 tahun di berhampiran pondok kecil di sebuah pangsapuri di Seksyen 25 di sini dengan merampas sepaket ganja seberat 1.35 g dan sebotol air ketum seberat 300ml. -K! ONLINE










