Dua pengarah syarikat dibebaskan selepas bantu siasatan rasuah RM1.8 juta - Utusan Malaysia

Dua pengarah syarikat dibebaskan selepas bantu siasatan rasuah RM1.8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Dua pengarah syarikat dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas membantu siasatan kes rasuah serta tuntutan palsu dianggarkan bernilai kira-kira RM1.8 juta.

Majistret Muhammad Bukhori Md. Ruslan membenarkan kedua-dua lelaki itu yang salah seorang daripada mereka bergelar Datuk dibebaskan dengan jaminan masing-masing sebanyak RM100,000 dengan dua orang penjamin.

Mereka membayar jaminan yang ditetapkan.

Tahanan reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Kosmo! Online baru-baru ini melaporkan tiga individu termasuk dua pengarah syarikat dan seorang ejen insuran wanita ditahan reman selama tiga hari bermula Rabu hingga Jumaat lalu bagi membantu siasatan kes rasuah serta tuntutan palsu dianggarkan bernilai kira-kira RM1.8 juta.

Ejen insuran itu dibebaskan Jumaat lalu namun, dua pengarah itu dilanjutkan tempoh reman selama tiga hari.

Bagaimanapun, kedua-dua lelaki itu dibebaskan pada hari ini iaitu sehari lebih awal daripada tempoh asal reman.

Sementara itu, menurut sumber, ketiga-tiga mereka ditahan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya ketika hadir memberi keterangan Selasa lalu.

Jelasnya , mereka disyaki menerima rasuah daripada pembekal peralatan kilang berhubung pembelian mesin bagi operasi sebuah syarikat yang kedua-dua pengarah syarikat itu turut mempunyai saham.

Tambah sumber, mereka juga disyaki terlibat dalam salah guna kuasa ke atas dana syarikat untuk kepentingan peribadi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN