KUALA SELANGOR – Dua maut manakala seorang parah ketika menuju ke sekolah dalam kemalangan langgar lari di Kilometer 1 Kuala Selangor – Rawang berdekatan Jalan Teluk Piah, pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 6.40 pagi, Mohd. Rozaini Ismail, 47, dan anak saudaranya, Muhammad Aryan Iman Abdullah, 7, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan dada.
Sementara, anak Mohd. Rozaini iaitu Muhammad Saifulbahari, 7, parah di bahagian kepala dan patah bahu kiri.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A. Wahab berkata, kemalangan dikatakan berlaku ketika kesemua mangsa yang menaiki motosikal jenis Demak dalam perjalanan menuju ke sebuah sekolah di Assam Jawa di sini dari Taman Bendahara.
Katanya, siasatan awal mendapati hanya penunggang motosikal iaitu Mohd Rozaini memakai topi keledar manakala dua lagi termasuk anaknya tidak memakainya.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki tiga mangsa itu dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan yang belum dikenalpasti sebelum melarikan diri.
“Akibat perlanggaran itu, Mohd. Rozaini dan Muhammad Aryan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan dada,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Jelas beliau, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Tanjung Karang untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE










