MOSCOW 22 Jan. – Dua anggota tentera Rusia maut manakala dua juruterbang cedera dalam nahas pesawat ketika sesi latihan di utara wilayah Murmansk, barat laut Rusia hari ini.
Kejadian berlaku tidak sampai seminggu selepas dua pesawat Su-34 bertembung di timur Rusia ketika sesi latihan pada Jumaat lalu.
“Ketika kejadian, sebuah pesawat Tu-22M3 cuba membuat pendaratan selepas latihan penerbangan sebelum terhempas. Dua juruterbang dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut manakala dua yang lain maut,” jelas jurucakap Kementerian Pertahanan.
Menurutnya, pesawat itu tidak membawa sebarang senjata.
Sumber memberitahu, pasukan kecemasan cuba memadamkan kebakaran di lokasi kejadian.
Pesawat Tu-22M3 adalah pengebom jarak jauh yang awalnya dibangunkan pada 1970-an. – AFP










