KOTA BHARU – Tindakan dua lelaki mengambil upah RM750 untuk menghantar 487 kilogram daun ketum dan 4,040 biji pil kuda dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish terbongkar selepas ditahan di Kampung Pusu 40, Lubok Jong, Pasir Mas, dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 2.30 petang, kedua-dua suspek berusia 28 dan 39 tahun ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem).
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, polis melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan Kampung Pusu 40 sebelum terlihat Toyota Wish yang dipandu laju dan mencurigakan tersebut.
“Semasa tiba di lampu isyarat Lubok Jong, pihak berkuasa meminta pemandu memberhentikan kenderaan namun dia bertindak memecutkan MPV berkenaan. Polis mengejar suspek dan berlaku pelanggaran sebelum mereka berjaya ditahan.
“Polis mengarahkan suspek keluar dari kenderaan, namun mereka enggan dan kami terpaksa memecahkan cermin pemandu dan penumpang hadapan sebelum mereka berjaya ditahan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Hasanuddin berkata, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemui 33 bungkusan plastik hitam yang mengandungi daun ketum seberat 487 kilogram serta bungkusan lutsinar mengandungi 4,040 biji pil kuda dengan nilai keseluruhan RM95,410. – K! ONLINE










