Dua beregu negara ‘tawan’ Thailand - Utusan Malaysia

Dua beregu negara ‘tawan’ Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Beregu campuran sensasi negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berjaya merangkul gelaran pertama sebagai pemain profesional selepas menjuarai kejohanan badminton Thailand Masters di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok hari ini.

Pilihan utama kejohanan itu tidak berdepan masalah besar menewaskan pasangan dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dengan keputusan straight set 21-16, 21-15 dalam tempoh 46 minit sekali gus mempertahankan gelaran dimenangi pada edisi tahun lalu.

Peng Soon, 30, berharap dia dan Liu Ying dapat mengekalkan momentum semasa agar berupaya menjulang lebih banyak kejuaraan selepas membuat keputusan drastik keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pertengahan bulan lalu.

“Saya sangat gembira kerana berjaya menjuarai gelaran pertama sebagai pemain profesional pada kejohanan pertama kami tahun ini.

“Saya harap (prestasi) dapat diteruskan supaya kami konsisten meraih lebih banyak pencapaian bagus untuk masa depan walaupun sedar ia bukan satu tugas mudah,” kata Peng Soon ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Bagi Liu Ying, jelitawan badminton berusia 29 tahun itu merasakan dia dan Peng Soon masih mempunyai beberapa perkara perlu diperbaiki supaya tidak melakukan beberapa kesilapan mudah seperti dilakukan pada aksi final tersebut.

Kejayaan pasangan pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu sememangnya sudah dijangka berdasarkan rekod bersih kemenangan dalam tiga pertemuan dengan beregu tuan rumah yang menghuni ranking kelima dunia sejak kali pertama bertemu pada Grand Prix Mexico City empat tahun lalu.

Turut mengikut jejak cemerlang Peng Soon-Liu Ying ialah beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang muncul juara selepas menewaskan pasangan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Hun 21-13, 21-17 dalam tempoh 35 minit.

Kejayaan tersebut melenyapkan kritikan yang sebelum ini mempertikaikan kemampuan V Shem-Wee Kiong yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 selepas gagal menjuarai mana-mana kejohanan sepanjang tempoh dua tahun lalu.

Kedua-dua beregu profesional negara itu berjaya membawa pulang wang tunai bernilai AS$11,850 (RM48,520) dan mereka bersiap sedia menghadapi kejohanan seterusnya, Malaysia Masters di Arena Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula Selasa ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN