RANTAU PANJANG 26 Jan. – Dua beradik serta seorang sahabat karib mereka maut selepas kereta dinaiki terbabas dan terjunam ke dalam longkang di Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas berhampiran Lubok Jong, di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.10 pagi itu, pemandu Muhammad Zainal Zainuddin, 33, adiknya, Muhammad Zakaria, 22, serta rakan, Muhammad Syadzaa Mohd. Salleh, 23, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Sementara itu, seorang lagi rakan mereka, Mohd. Shakirim Hafizi Mohammad Shamsuddin, 22, cedera parah dan sedang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Difahamkan, kesemua mangsa yang merupakan rakan karib dalam perjalanan menuju ke sebuah pusat peranginan di Bachok selepas mengambil barang di rumah salah seorang daripada mereka di Rantau Panjang.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, kereta Perodua Myvi dari arah Rantau Panjang ke Pasir Mas dipandu Muhammad Zainal dan apabila tiba di lokasi, kenderaan tersebut hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan.
“Kereta tersebut yang kemudiannya terjunam ke dalam longkang menyebabkan tiga mangsa yang mengalami kecederaan parah telah meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi parah,” katanya. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, isteri Muhammad Zainal, Siti Nur Wahidah Mohd. Fazmi, 30, berkata, beberapa hari sebelum kejadian suaminya dilihat lebih banyak termenung namun tidak menyangka perubahan sikap itu menjadi petanda suaminya akan pergi buat selama-lamanya.










