JOHOR BAHRU – Dua anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen (Khas Rasuah) di sini hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah, tiga tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Konstabel Mohd. Ridzuan Sedali, 28, dan Lans Koperal Muhammad Nurulkiflee Abdul Shukor, 27, mengaku tidak bersalah bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, serta satu pertuduhan alternatif selepas semuanya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.
Bagi pertuduhan pertama, mereka dituduh secara bersama meminta suapan RM300 daripada seorang suspek sebagai dorongan supaya tidak menjalankan ujian saringan air kencing dan memulangkan semula kad pengenalan suspek yang ditahan.
Bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa setuju menerima jumlah suapan itu daripada suspek yang mana perbuatan itu dilakukan di Balai Polis (BP) Mawai, Jalan Mawai, Kota Tinggi, antara pukul 9.30 malam hingga 10 malam, 31 Mac 2016.
Manakala, bagi pertuduhan ketiga, kedua-dua tertuduh didakwa meminta lagi suapan RM300 bagi tujuan sama daripada suspek sama, di lokasi sama, pada kira-kira pukul 4.40 petang, 1 April lalu.
Bagi semua perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 17 (a) akta sama serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta SPRM 2009 selain dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Mereka berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda atau RM10,000 atau mana nilai yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pada masa sama, mereka turut didakwa bagi pertuduhan alternatif menerima suapan RM300 dengan tiada balasan daripada suspek itu pada 1 April 2016 dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – K! ONLINE










