PULAU PINANG 14 Jan. – Bekas Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) menggunakan kuasa untuk melakukan ugutan bagi menakut-nakutkan pihak yang mengkritik pemimpin mereka.
Bekas ahli PKR itu mendakwa, siasatan polis terhadapnya berhubung status di laman sosial Facebooknya yang menyentuh mengenai jaket anak Menteri Kewangan, Lim Guan Eng adalah bersifat `dendam politik’.
Malah, Tee Beng sekali lagi mempertahankan yang mana statusnya itu bukan fitnah kerana beliau tidak menuduh jaket anak Guan Eng berkenaan diperoleh secara rasuah atau di luar kemampuan menteri berkenaan.
Dalam masa sama, dia melahirkan rasa kesal kerana sepanjang menjadi Ahli Parlimen PKR antara 2008 dan 2010, beliau tidak pernah disoal siasat polis meskipun secara terbuka mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu.
“Tidakkah ini merupakan penyalahgunaan terhadap kuasa yang dimiliki polis untuk menekan hak kebebasan bersuara rakyat ketika pihak berkuasa berkenaan sepatutnya memberi tumpuan untuk menyiasat kes-kes lain yang lebih serius,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pada pagi Khamis lalu, Tee Beng disoal siasat polis dari Putrajaya dan diminta menyerahkan telefon bimbitnya selepas diambil kenyataan di balai polis Tanjung Tokong di sini.
Siasatan itu berhubung status di laman sosial Facebook beliau berhubung jaket jenama Givenchy yang didakwa berharga RM4,700 yang dipakai anak Guan Eng ketika menaiki penerbangan ke Australia.
Dalam pada itu, Tee Beng mencabar pihak yang membuat laporan terhadapnya yang didakwa berada di Putrajaya mendedahkan diri dan bersemuka dengannya bagi mendapatkan sendiri penjelasan berhubung statusnya itu.
Katanya, individu berkenaan tidak sewajarnya berselindung di sebalik laporan polis dan memperlihatkan seolah-olah dia memfitnah dalam statusnya itu. – UTUSAN ONLINE










