PEKAN 14 Jan. – Pemasyhuran Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang keenam esok mencatat sejarah tersendiri kerana bukan sahaja mengangkat seorang raja pemerintah negeri yang baharu malah diadakan selepas 45 tahun.
Ayahanda Sultan Abdullah, Sultan Ahmad Shah dimasyhurkan secara rasmi sebagai Sultan Pahang kelima pada Mei 1974 berikutan kemangkatan nenda baginda, Almarhum Sultan Abu Bakar.
Sultan Abdullah yang merupakan anakanda keempat Sultan Ahmad Shah dan Almarhumah Tengku Afzan Almarhum Tengku Muhammad dilantik menjadi Tengku Mahkota Pahang pada 1 Julai 1975 dan dimasyhurkan pada 23 Oktober 1977 di Istana Abu Bakar di sini.
Ketika Sultan Ahmad Shah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ketujuh pada 26 April 1979 hingga 25 April 1984, baginda dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang dan sekali lagi dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang pada 28 Disember 2016.
Tempoh selama 44 tahun sebagai Tengku Mahkota Pahang sejak 1975 menyaksikan baginda memegang rekod dunia kedua paling lama menjadi Putera Mahkota selepas Putera Wales, Putera Charles.
Sementara itu, Sultan Abdullah berkenan berangkat menyaksikan raptai istiadat pemasyhuran baginda sebagai Sultan Pahang keenam di Balairung Seri Istana Abu Bakar hari ini.
Baginda bersama Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan beberapa ahli keluarga kelihatan memasuki Balairung Seri kira-kira pukul 4.55 petang iaitu selepas lebih sejam raptai itu berlangsung.
Yang lebih awal berangkat ke Balairung Seri bagi memastikan kelancaran acara berkenaan ialah Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.
Esok, Balairung Seri bakal bergema dengan laungan takbir ‘Allahuakbar’ sempena pemasyhuran Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang yang baharu.
Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah bertitah, laungan takbir sebanyak tiga kali sebelum ‘Daulat Tuanku’ itu dimasukkan dalam susunan atur cara istiadat berkenaan atas permintaan Sultan Abdullah sendiri.
“Pemasyhuran sebelum ini kira-kira 40 tahun lalu. Laungan ‘Daulat Tuanku’ memang itu sudah menjadi adat tetapi selalunya pemasyhuran berkenaan berlaku dalam kemangkatan.
“(Pemasyhuran) ini yang luar biasa, jadi kita ‘readjust’ sedikit sebanyak,” titah baginda selepas menghadiri acara raptai istiadat pemasyhuran itu di Balairung Seri Istana Abu Bakar hari ini.
Menurut Tengku Abdul Rahman, kira-kira 1,500 tetamu dijangka menghadiri istiadat berkenaan yang mana 800 orang daripadanya berada di dalam Balairung Seri.










