Dijerut, dicampak dalam lombong - Utusan Malaysia

Dijerut, dicampak dalam lombong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Mayat seorang pekerja kilang dipercayai dibunuh ditemui terapung dalam sebuah lombong tinggal di Persiaran Kanthan 1, Kanthan Baru di sini kelmarin.

Pemeriksaan awal terhadap mayat mangsa, Muhammad Azizul Roslan, 24, mendapati ada kesan jerutan pada leher selain cedera di beberapa bahagian kepala termasuk lebam di mata kiri dan pipi serta telinga kiri dipercayai terkena senjata tumpul.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.20 te­ngah hari berhubung penemuan mayat itu.

“Mangsa dijumpai pada jarak empat meter dari kawasan tebing berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa ke lokasi kejadian untuk memancing namun jorannya telah dipatahkan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Mohd. Ali, mengikut keterangan bapanya, mang­sa dari Sungai Siput di sini keluar rumah pada pukul 1.30 petang, Selasa lalu untuk memancing namun tidak pulang ke rumah pada hari tersebut.

Lelaki itu mula mencari anaknya di kawasan lombong berkenaan dengan bantuan anggota polis yang kemudian mengesan motosikal mangsa berada di lokasi kejadian pagi kelmarin.

“Mayat mangsa kemudian ditemui dekat semak dalam lombong berkenaan dengan kaki­nya kelihatan terapung,” katanya.

Polis tidak menolak kemungkinan mangsa dipukul dengan senjata tumpul sebelum terjatuh atau mayatnya dicampak dalam lombong tersebut.

Tiada senjata ditemui di kawasan penemuan mayat itu.

Laporan bedah siasat menunjukkan kematian Muhammad Azizul akibat lemas kerana terdapat lumpur dalam saluran pernafasannya.

Siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×