Deloitte kena penalti RM2.2 juta - Utusan Malaysia

Deloitte kena penalti RM2.2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Jan. – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menegur dan mengenakan penalti ke atas Deloitte PLT. (Deloitte) bagi empat pelanggaran yang berkaitan dengan Program Sukuk Murabahah bernilai RM2.4 bilion yang diterbitkan oleh Bandar Malaysia Sdn. Bhd. (BMSB) pada 2014.

SC berkata, Deloitte merupakan juruaudit berkanun bagi BMSB dan 1MDB Real Estate Sdn. Bhd. (1MDB RE) bagi tahun kewangan mereka yang bera­k­hir pada 31 Mac 2015 hingga 2016.

Katanya, 1MDB RE, yang kini dikenali sebagai TRX City Sdn. Bhd., merupakan satu daripada penyedia sekuriti pihak ketiga bagi Program Sukuk Murabahah dan syarikat induk BMSB, manakala 1Malaysia Development Berhad (1MDB) merupakan syarikat induk 1MDB RE dan BMSB.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Deloitte didapati melakukan dua pelanggaran di bawah seksyen 276(3)(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana gagal melaporkan kepada SC dengan segera luar aturan yang mungkin mempunyai kesan material ke atas kemampuan BMSB memenuhi kewajipannya untuk membayar balik kepada pemegang sukuk sebarang amaun di bawah Program Sukuk Murabahah tersebut.

“SC mendapati pelanggaran yang dilakukan oleh Deloitte adalah serius, kerana ia gagal menunaikan kewajipan berkanunnya walaupun telah memasukkan perkara berikut ke dalam Penyata Kewangan Teraudit (AFS) BMSB dan 1MDB iaitu Kelayakan Audit dalam Laporan Juruaudit Bebas bagi 1MDB RE untuk AFS, bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2015 (AFS 2015) dan 31 Mac 2016 (AFS 2016); Penekanan Perkara Pen­ting dalam Laporan Juruaudit Bebas bagi AFS 2015 dan AFS 2016 BMSB serta Penekanan Perkara Penting dalam Laporan Juruaudit Bebas bagi AFS 2015 dan AFS 2016 1MDB RE,” kata­nya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, Kelayakan Audit dalam Laporan Juruaudit Bebas Deloitte bagi 1MDB RE untuk AFS 2015 dan AFS 2016 me­nyatakan Deloitte tidak dapat memperoleh bukti audit yang mencukupi untuk menentukan sama ada pendahuluan kepada 1MDB, antara lain, daripada hasil Progam Sukuk Murabahah tersebut boleh diperoleh semula.

SC berkata, Penekanan Perkara Penting dalam Laporan Juruaudit Bebas Deloitte 1MDB RE untuk AFS 2015 dan AFS 2016 serta AFS 2015 dan AFS 2016 BMSB menyatakan bahawa 1MDB sedang disiasat oleh beberapa pihak berkuasa.

“Deloitte seterusnya menyatakan dalam laporannya bagi AFS 2015 dan AFS 2016 1MDB bahawa ‘siasatan ke atas 1MDB yang sedang dijalankan me­nunjukkan wujudnya ketidakpastian material yang boleh menimbulkan keraguan besar mengenai keupayaan kumpulan dan syarikat untuk kekal sebagai usaha berterusan’,” katanya.

SC mengenakan denda sebanyak RM2 juta atas pelanggaran tersebut, denda maksimum yang diperuntukkan di bawah Seksyen 354(3)(b) CMSA sementara dua pelanggaran di bawah Seksyen 276(1) CMSA, syarikat itu telah didenda sebanyak RM200,000 kerana kegagalannya menghantar satu salinan AFS 2015 dan 2016 BFSB kepada MTrustee Berhad, dalam tempoh tujuh hari selepas mengemukakan AFS 2015 dan 2016 kepada BMSB.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini