Daulat Tuanku, Sultan Abdullah dimasyhur Agong ke-16 - Utusan Malaysia

Daulat Tuanku, Sultan Abdullah dimasyhur Agong ke-16

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia hari ini merafak sembah takzim atas perisytiharan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai ketua negara Malaysia yang berdaulat.

Istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara menandakan berkuat kuasanya tempoh pemerintahan lima tahun Seri Paduka sebagai payung negara, berdasarkan undang-undang dan Perlembagan Persekutuan.

Dalam lafaz sumpah berkenaan, Sultan Abdullah berikrar akan melaksanakan pemerintahan dengan adil dan mengaku akan bersungguh-sungguh memelihara dan mempertahankan pada setiap masa kesucian agama Islam, keamanan dan kesejahteraan rakyat.

Sebagai Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong secara undang-undangnya mempunyai kuasa terhadap tiga institusi kerajaan iaitu badan eksekutif, perundangan dan memainkan peranan berkaitan badan kehakiman.

Istiadat hari ini yang turut menyaksikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah melafaz sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, melengkapkan lagi sistem raja berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.

Baginda berdua dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara pada 24 Jan lepas, susulan peletakan jawatan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Januari lepas.

Kemuafakatan dan keharmonian dalam kalangan sultan dan raja Melayu membuat keputusan memilih Sultan Abdullah, 59, dan Sultan Nazrin, 62, dalam masa yang singkat meneruskan kesinambungan institusi diraja yang menyaksikan perisytiharan di Balairung Seri berlangsung penuh istiadat.

Kali terakhir bendera rasmi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan di Pahang adalah ketika Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Almarhum Sultan Abu Bakar memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong ketujuh pada 26 April 1979 hingga 25 April 1984.

Laungan ‘Allahu Akbar’ dan ‘Daulat Tuanku’ dan doa ribuan rakyat yang mengambil kesempatan cuti umum di Pahang untuk berhimpun seawal 6.30 pagi di Pangkalan Udara Kuantan untuk Istiadat Memuliakan Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong mengiringi raja tercinta untuk memulakan tugas baharu.

Keberangkatan Sultan Abdullah dan Raja Permasuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar dari Istana Abdulaziz, Kuantan ke Istana Negara di Jalan Tuanku Abdul Halim, Bukit Damansara diiring doa dan harapan rakyat jelata. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×