KUALA LUMPUR 24 Jan. – Berita pemilihan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong hari ini diterima baik rakyat Malaysia.
Dalam media sosial, kebanyakan rakyat menyambut pengumuman itu dengan komen positif, termasuklah laungan Daulat Tuanku dan Allahuakbar.
“Alhamdulillah syukur. Daulat Tuanku. Semoga negara tenang di bawah pemerintahan Tuanku (Yang di-Pertuan) Agong. Amin,” tulis seorang pengguna Facebook, Bob Megat.

Kebanyakan komen juga menggandingkan ucapan Allahuakbar dengan Daulat Tuanku, sesuai dengan titah Al-Sultan Abdullah sendiri sebelum ini yang mengarahkan ucapan membesarkan Allah itu dilaungkan semasa upacara pemasyhuran baginda sebagai Sultan Pahang, 15 Januari lalu.
Begitu juga, sesuai dengan peranan yang bakal digalas baginda sebagai raja kepada seluruh rakyat Malaysia, pemilihan baginda turut disambut baik rakyat dari pelbagai etnik.
Seorang pemuda berbangsa India, S. Mathis, 23, berkata, pemilihan Al-Sultan Abdullah diharap dapat memantapkan peranan institusi diraja sebagai institusi semak dan imbang kerajaan yang baik demi mengangkat kesejahteraan rakyat.
“Al-Sultan Abdullah dikenali sebagai antara Sultan yang merendah diri ketika menjadi Pemangku Sultan Pahang serta sangat lantang menyuarakan kepentingan rakyat,” katanya.

Begitu juga seorang guru berbangsa Bidayuh dari Sarawak, Maclaren Jumpong, 26 yang mengharapkan legasi pemerintahan diraja yang adil dan saksama dapat diteruskan Al-Sultan Abdullah.
“Daulat Tuanku. Semoga Tuanku dapat meneruskan tradisi pemerintahan institusi diraja yg menjadi tunjang kepada sistem demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan di negara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










