NAMA Nur Rabiatul Adawiyyah Zamri tular dalam media sosial gara-gara alamat unik tertera pada bungkusan posnya. Gadis berusia 18 tahun itu dihujani panggilan telefon dan mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada warganet yang ingin tahu cerita sebenar di sebalik alamat tersebut.
Bungkusan yang tertera alamat ‘Masuk Ke Dalam Sikit, Rumah Saya Kat Belakang Warna Kuning, Jerantut, Pahang’ menjadi bahan jenaka netizen dalam media sosial.
Nur Rabiatul Adawiyyah berkata, dia terkejut apabila alamat berkenaan digunakan oleh sebuah syarikat platform e-dagang untuk menghantar bungkusan kepadanya.
“Sebenarnya, itu bukan alamat yang saya tulis pada maklumat peribadi ketika membeli barang secara atas talian.
“Itu hanyalah keterangan yang ditulis kerana rumah saya agak tersorok.
“Jadi, untuk memudahkan posmen mencarinya, saya tulis keterangan seperti itu.
“Sebenarnya saya sudah berikan alamat sebenar. Tetapi dalam ruangan keterangan di platform pembelian atas talian itu, saya nyatakan keterangan tambahan mengenai jalan masuk ke rumah saya.
“Tidak sangka keterangan tambahan itu yang digunakan sebagai alamat utama untuk menghantar barangan yang saya beli,” katanya kepada S2 ketika ditemui di Kampung Jerantut Feri, Jerantut, Pahang.
Menurutnya, alamat rumah yang betul telah dinyatakan, namun dia tidak menyangka syarikat berkenaan menggunakan keterangan sampingan untuk menghantar barang pesanannya.
“Saya beli vitamin dan telah berurusan dengan syarikat terbabit hampir setahun yang lalu. Ini pertama kali berlaku,” ujarnya yang menjelaskan barangan itu adalah produk farmasi iaitu makanan tambahan bagi pesakit kanser darah.
Dia yang menghidap leukemia memberitahu, posmen telah menghubunginya supaya mengambil bungkusan itu di Pejabat Pos Jerantut memandangkan alamat yang tertulis mengelirukan.
“Saya kemudian ke pejabat pos untuk mengambil bungkusan tersebut pada hari yang sama saya dimaklumkan posmen mengenainya.
“Tidak lama kemudian, saya menerima mesej daripada rakan-rakan yang memberitahu alamat rumah yang ditulis pada bungkusan itu tular dalam Facebook dan WhatsApp,” ujarnya.
Tambahnya, kejadian tersebut berlaku tanpa disengajakan dan mungkin terdapat salah faham mengenai alamat yang tertera pada maklumat peribadi yang dinyatakan sebelum ini.
“Saya tidak kisah kerana saya sendiri pun ketawa melihat alamat itu, tetapi saya terpaksa berdepan dengan panggilan telefon dan mesej dari pagi sampai ke malam kerana netizen ingin mengetahui cerita sebenar.
“Ramai yang anggap saya ingin berjenaka dengan menulis alamat sedemikian, namun sebenarnya ia adalah sedikit kesilapan teknikal dan saya akan lebih berhati-hati selepas ini agar ia tidak berulang,”katanya.










