PETALING JAYA – Celcom Axiata Bhd. (Celcom Axiata) memperuntukkan pelaburan sebanyak RM100 juta bagi membangunkan Pusat Kecemerlangan Objek Rangkaian Internet (IoT) dan infrastruktur berkaitannya dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Idham Nawawi berkata, syarikat kini menuju ke arah pelaksanaan revolusi perindustrian 4.0 dengan disokong oleh pembangunan pusat kecemerlangan tersebut selain rangkaian, kandungan dan kajian serta pembangunan ekosistem di Malaysia.
“Celcom telah terlibat dalam forum IoT lebih lima tahun lalu. “Ia adalah seiring dengan pembangunan industri berkenaan di Malaysia.
“Sehubungan itu, menerusi inisiatif tersebut diharapkan dapat memacu syarikat ke peringkat lebih baik.
“Malah, syarikat sentiasa memainkan peranan penting dan menjadi asas dalam membina negara dengan memiliki liputan rangkaian terluas di Malaysia, menghubungkan serta menyediakan kesamarataan dan keterangkuman kepada kumpulan kurang mendapat perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis sambutan ulang tahun ke-31 Celcom dan pelancaran menara pejabat korporat baharunya, @celcom di sini semalam.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Gobind Singh Deo.
Turut hadir Pengerusi Celcom Axiata, Tan Sri. Jamaludin Ibrahim.
Selain itu, Idham menerangkan, pelancaran menara @celcom tersebut melambangkan 31 tahun syarikat bersama negara dalam memajukan masyarakat selain membuktikan kesediaan syarikat untuk menjadi peneraju dalam industri digital ini.
“Menara @celcom setinggi 31 tingkat dan mampu menempatkan seramai 1,700 kakitangan itu menawarkan persekitaran kerja yang moden, pintar dan berteknologi tinggi.
“Ia juga merupakan rumah bagi Pusat Kecemerlangan IoT Kumpulan Axiata termasuk akademi baharu bagi The Academy @celcom dan akademi virtual Celcom iaitu sebagai hab inovasi digital yang tidak hanya untuk kumpulan sebaliknya bagi Malaysia dan serantau,” ujarnya.










