CAMERON HIGHLANDS 15 Jan.- Calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, M. Manogaran kecewa dan mahu Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) mengkaji semula kadar caj parkir yang disifatkannya sebagai melampau.
Beliau mendakwa kadar tersebut jauh lebih mahal berbanding bandar besar
seperti Kuantan yang hanya mengenakan caj kira-kira RM52 sebulan
berbanding di Cameron Highlands, iaitu kira-kira RM80 untuk tempoh yang
sama.
Malah Manogaran turut mendakwa, alasan MDCH sebelum ini bahawa kadar
tersebut tertakhluk di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebagai sesuatu
yang mengarut.
“Apa yang saya kecewa ialah ada perjumpaan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dibuat, tetapi MDCH kata ia tertakluk Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Saya sebagai peguam menyifatkan ini tidak betul. Setiap undang-undang
boleh tukar. Yang penting beri ruang pada penduduk,” katanya ketika
ditemui pemberita semasa menghadiri majlis sambutan Pesta Ponggal di Kuil
Sri Subramaniyar di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










