CAMERON HIGHLANDS 26 Jan. – Calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Wong Seng Yee selesai mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bertam Valley di sini hari ini.
Seng Yee yang mesra dikenali dengan panggilan ‘abang topi’ berkata, dia teruja dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi.
Menurutnya, dia berpuas hati kerana telah menyampaikan manifestonya kepada orang ramai sepanjang tempoh berkempen.
“Sekiranya saya dipilih menjadi wakil rakyat di sini, saya akan menunaikan janji-janji saya seperti yang terkandung di dalam manifesto.
“Jika sebaliknya, saya bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi membincangkan masalah dan pembangunan di Cameron Highlands ini,” katanya.

Selain Seng Yee, seorang lagi calon bebas, Sallehudinn Ab. Talib turut mengundi di Sekolah Kebangsaan Sungai Koyan 1.
Calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd. Nor dan calon Pakatan Harapan, M. Manogaran pula tidak mengundi di sini. – UTUSAN ONLINE










