LIPIS 24 Jan. – Ketika tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands tinggal kurang 48 jam, calon Bebas, Wong See Yee yang banyak berkempen di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata sebelum ini akhirnya menemui pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai hari ini.
Beliau yang diiringi dua pembantu memulakan kempen di sekitar pasar pagi Sungai Koyan seawal puku 7.30 pagi dengan bertemu pengundi dan mengedarkan risalah manifestonya.
See Yee berkata, meskipun tidak meletakkan harapan besar terhadap sokongan pengundi di situ tetapi yang penting ialah mesej dalam manifestonya dapat disampaikan kepada masyarakat.
“Strategi permulaan sudah betul dan mereka kenal saya sebagai ‘Abang Topi’, jadi kalau tidak turun di sini saya berasa serba salah dan saya nak kata ‘hai’ kepada mereka.
“Saya tidak meletakkan harapan besar tetapi hanya ingin menyampaikan mesej kerana dalam politik hendak dapat undi bukan hanya satu hari. Sebagai petani saya faham tanam pokok pun bermula dari biji dan hendak hasilkan sebatang pokok bunga pun memakan masa empat bulan,” katanya ketika ditemui di pasar pagi Sungai Koyan di sini hari ini.
Antara manifesto Seng Yee, yang merupakan pengusaha bunga kekwa adalah menggesa kerajaan Persekutuan untuk merumuskan dan melaksanakan dasar pertanian yang bermanfaat.
Selain itu, beliau mahu mempromosikan pembangunan Cameron Highlands yang mampan untuk masa depan lebih cerah dengan keutamaan kepada pertanian dan pelancongan tanah tinggi. – UTUSAN ONLINE










