KUALA LUMPUR 30 Jan. – Bursa Malaysia mencatatkan Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) sebanyak RM224 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, peningkatan 0.4 peratus berbanding RM223 juta yang direkodkan tempoh sama tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Tajuddin Atan berkata, perolehan bagaimanapun menyusut kepada RM550 juta daripada RM556.83 juta.
Beliau berkata, peningkatan keuntungan yang direkodkan adalah disebabkan pendapatan operasi yang lebih tinggi sebanyak RM523.3 juta atau peningkatan 0.2 peratus berbanding tahun sebelumnya selain perbelanjaan operasi lebih rendah yang berkurangan 3.6 peratus berikutan kos kakitangan dan teknologi yang lebih kecil.
“Walaupun pasaran tidak menentu dan persekitaran ekonomi global mencabar, prestasi kewangan Bursa Malaysia kekal berdaya tahan.
“Sepanjang tahun, kami terus melaksanakan beberapa insiatif untuk terus meningkatkan kecairan dan kerancakan pasaran, dalam usaha mewujudkan persekitaran yang lebih mudah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Berikutan prestasi itu, Lembaga Pengarah meluluskan dividen interim kedua 11.6 sen sesaham bagi tahun kewangan 2018, yang berjumlah RM93.7 juta dan akan dibayar pada 28 Februari 2019.
Sementara itu, Tajuddin berkata, pelancaran Kontrak Hadapan Indeks FTSE Bursa Malaysia Mid 70 (FM70), memberi peluang kepada kumpulan pelabur runcit yang lebih luas untuk menyertai perdagangan derivatif.
“Kami akan terus memberi tumpuan untuk meningkatkan penyertaan runcit yang berlabuh dalam kempen pelaburan runcit kami Invest Bursa Invest in You, yang dilancarkan pada September tahun lepas,” katanya.
Bagi tahun yang ditinjau, beliau berkata, hasil dagangan pasaran sekuriti meningkat 2.4 peratus kepada RM265.8 juta daripada RM259.6 juta pada tahun kewangan 2017, disebabkan nilai perdagangan harian purata yang lebih tinggi bagi dagangan di pasaran sekuriti yang meningkat 3.4 peratus kepada RM2.4 bilion daripada RM2.3 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.
Katanya, pendapatan bukan perdagangan mencatatkan penurunan kecil sebanyak 0.1 peratus kepada RM165.9 juta daripada RM166.1 juta setahun sebelumnya berikutan hasil perkhidmatan penyenaraian dan pengeluar yang rendah menurun sebanyak 2.7 peratus tahun ke tahun.











