KOTA BHARU 27 Jan. – Polis telah mengambil keterangan daripada seorang pemuda berusia 20-an bagi membantu siasatan kes seorang warga emas yang maut dipercayai akibat dipukul dengan kuku kambing di rumahnya di Kampung Chap Rimau, Tanah Merah dekat sini semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan bagaimanapun berkata, lelaki yang merupakan penduduk tempatan itu tidak diklasifikasikan sebagai suspek.
“Sehingga kini, suspek sebenar masih belum dikenal pasti. Selain itu, kita juga telah mengambil keterangan daripada lapan jiran mangsa untuk melengkapkan siasatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Op Selamat Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2019 Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 5 pagi itu, mangsa, Hamid Mat Salleh mengalami kecederaan di belakang kepala dan bahagian pergelangan tangan kiri dipercayai dipukul dengan kuku kambing.
Siasatan awal mendapati mangsa mengalami pendarahan yang banyak dikatakan akibat dipukul dengan senjata tersebut sehingga mati.
Berdasarkan penemuan kuku kambing di lokasi kejadian, suspek dipercayai menggunakan alat tersebut untuk memecah masuk rumah mangsa.
Hasanuddin berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan untuk mengenal pasti dan motif sebenar kejadian.
“Setakat ini motif kejadian kita klasifikasikan sebagai pecah rumah dan bunuh. Mayat masih ditempatkan di Hospital Tanah Merah dan bedah siasat akan dijalankan dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN ONLINE











