Masihkah anda ingat 20 tahun lalu penyanyi Safura Yaacob pernah popular menerusi lagu Sedalam Mana Cintamu? Sehingga ke hari ini, lagu tersebut masih menjadi siulan dan sering dipilih untuk dijadikan lagu ’wajib’ dalam sesi karaoke.
Malah, nada tinggi yang dilantunkan oleh Safura cukup membuatkan ramai yang teruja di zaman itu.
Setelah 15 tahun tidak merakamkan lagu, Safura, 46, akui suaranya tidaklah sehebat ketika zaman kegemilangannya dulu.
Malah, ada yang mempertikaikan mutu vokalnya apabila menyertai rancangan realiti hiburan Gegar Vaganza musim kelima baru-baru ini.
Walaupun tersingkir di minggu pertama, Safura tidak menganggap itu sesuatu yang melemahkan semangatnya, malah penyingkiran tersebut bagaikan satu hikmah.
Baginya, itu titik tolak dirinya membuat kemunculan semula dalam arena seni suara. Demi mengubat kerinduan peminat dan membuktikan dirinya masih ‘berbisa’, Safura mengorak langkah muncul dengan lagu terbaharunya, Dendam Kemala.

Mahu lagu lebih santai
Ukur baju di badan sendiri. Itu prinsip yang dipegang oleh Safura dalam meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi. Safura akui mungkin tidak mampu untuk menyanyi dengan nada tinggi seperti dulu, namun itu bukan alasan untuknya berundur dalam nyanyian yang sudah menjadi darah dagingnya.
Buktinya, lagu Dendam Kemala ciptaan Asfan dan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya kembali menempatkan dirinya sebaris dengan artis popular lain.
“Dalam menyanyi saya sedar suara tidaklah sehebat zaman muda dulu. Ketika itu stamina masih hebat dan tenaga dalaman pun berbeza dengan usia sekarang. Berilah mana-mana lagu bernada tinggi pun, saya mampu nyanyikannya.
“Dalam usia sekarang, saya sudah tidak mampu nak ‘menjerit’ seperti dulu. Disebabkan itu, sebelum merakamkan lagu saya berterus-terang kepada Asfan mahukan lagu yang lebih santai, ‘mesra’ telinga dan mengikut peredaran muzik sekarang.
“Lagu Sedalam Mana Cintamu memang hebat dan lagu itulah membuatkan orang masih ingat saya walaupun sudah 15 tahun tidak muncul dengan lagu baharu. Ke mana-mana pun pergi, orang akan kaitkan lagu itu dengan saya.
“Namun, sesuai dengan usia sekarang, tak mungkin saya bawakan lagu seperti itu lagi. Saya tak boleh ‘menjerit-jerit’ seperti 20 tahun lalu. Rasanya mana-mana penyanyi pun akan mengalami perubahan dalam suaranya.
“Walaupun tidak mampu bawa nada tinggi seperti dulu, saya masih ada cara lain untuk kembali memeriahkan industri muzik. Keindahan sesebuah lagu bukanlah terletak pada nada tinggi, sebaliknya pada melodi yang indah dan mengikut peredaran zaman,” jelas Safura yang berharap lagu baharunya kelak diterima peminat. Suntikan elemen moden dalam lagu Dendam Kemala seolah-olah ‘meremajakan’ semula Safura.
“Setelah berbincang dengan Asfan, saya mahukan lagu yang dekat dengan jiwa peminat terutama orang Melayu dan melodinya sedap walaupun tidak memerlukan nada tinggi. Lagu ini juga adalah campuran genre asli, pop dan balada.
“Lagu ini juga adalah hadiah buat peminat. Siapa tahu, mungkin ini lagu terakhir saya? Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang boleh dikenang oleh mereka kelak,” katanya.
“Mengikut perancangan, lagu ini akan dilancarkan dalam bulan ini juga. Doakan semua berjalan lancar,” katanya.
Pengalaman berharga
Safura juga berasa bertuah dapat bekerjasama dengan komposer muda seperti Asfan Shah.
Baginya, Asfan adalah komposer yang berbakat besar dan sangat menghargai penyanyi senior sepertinya.
“Sebenarnya saya ada menghubungi beberapa komposer muda, tetapi Asfan sahaja yang menunjukkan kesungguhan. Jadi proses kerjasama kami berjalan lancar.
“Saya cukup suka dengan melodi yang dicipta oleh Asfan. Dia juga bijak mengawal vokal saya di studio. Kalau dulu saya mengambil masa berbulan-bulan untuk merakamkan lagu Sedalam Mana Cintamu di studio, untuk lagu Dendam Kemala beberapa hari sahaja.
“Satu pengalaman baharu dan berharga dapat bekerjasama dengan Asfan. Saya harap kerjasama ini memberi sesuatu yang positif dalam kerjaya saya,” tambahnya.
Menyantuni gelandangan
Pada 17 Januari lalu, Safura turut mengikuti kerja amal membantu para gelandangan anjuran Media House Entertaiment (MHE) yang turut dihadiri oleh Pancaindera, portal MHE TV dan URTV.
Selain Safura, artis lain yang turut hadir adalah pelakon Risteena dan tiga finalis Gadis Panca 2018 iaitu Deeana Shazleen, Puteri Ateeqah dan Ainin Mielan. Mereka turut menyerahkan keperluan asas seperti pakaian, makanan dan keperluan harian kepada para gelandangan.
Safura mengakui agak tersentuh dengan kesusahan yang dialami oleh gelandangan.
“Dalam hidup ini, kalau kita berasa susah, sebenarnya ada lagi yang lebih sukar kehidupannya seperti gelandangan. Bertemu dengan mereka secara berdepan membuatkan saya merasai kesusahan mereka terutama kanak-kanak kecil yang belum mengenal erti kehidupan.
“Di saat kanak-kanak lain mudah mendapat bekalan makanan, kesihatan dan pelajaran, mereka masih terabai dan tinggal di lorong-lorong. Saya harap lebih ramai pihak akan membantu gelandangan agar mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.
“Terima kasih kepada MHE kerana mengundang saya untuk bersama-sama melakukan kerja amal ini. Saya tidak ralat untuk menyertai program seperti ini pada masa akan datang,” kata Safura yang bahagia bersama suaminya, pelakon Sharolnizam yang memasuki usia pernikahan 14 tahun pada hari ini.










