SAUDARA PENGARANG,
SUDAH sampai masanya semua institusi pengajian tinggi (IPT) atau universiti dalam negara menerima hakikat bahawa zaman kini sudah berubah. Oleh itu sebarang dasar atau peraturan lama yang dibuat dan diikuti selama ini harus juga diubah bagi memastikan institusi itu terus wujud serta bersaing bukan sahaja dalam negara malah di peringkat global pada masa akan datang.
Sebarang cadangan untuk membuka IPT kepada semua golongan harus dilihat dan dinilai secara positif dengan minda dan hati lebih terbuka sesuai dengan keadaan semasa dalam negara kini.
Tidak menjadi satu dosa atau kesalahan untuk membuka pintu semua IPT dalam negara kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang mereka kerana setiap rakyat Malaysia berhak untuk mendapatkan pendidikan di peringkat tinggi dengan adil dan saksama.
Usaha membuka IPT untuk semua golongan juga memberi banyak ruang dan peluang kepada para pelajar dalam institusi itu sendiri untuk belajar mengenali antara satu sama lain serta bersaing secara sihat sesama mereka dalam proses menimba ilmu.
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia










