Buka pengajian pascasiswazah UiTM kepada kaum lain - Utusan Malaysia

Buka pengajian pascasiswazah UiTM kepada kaum lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 10 Jan. – Bekas Pengarah Institut Teknologi Mara (ITM), Tan Sri Dr. Arshad Ayub mencadangkan supaya Univerisiti Teknologi Mara (UiTM) membuka kemasukan untuk pengajian pascasiswazahnya kepada bukan Bumiputera.

Menurut Pro Canselor UiTM itu, langkah itu sesuai kerana pada peringkat itu, graduan UiTM sepatutnya sudah boleh bersaing dengan kaum lain.

“Kalau tanya saya sama ada bukan Melayu patut diberi ruang memasuki UiTM, pendapat saya adalah pada peringkat ijazah Sarjana, graduan (UiTM) sepatutnya sudah boleh bersaing dengan kaum lain,” katanya seperti dipetik portal Free Malaysia Today, di sini hari ini.

Walau bagaimanapun, kata Arshad, pelajar Melayu dan bumiputera masih belum bersedia untuk bersaing di peringkat ijazah pertama dan dalam latihan profesional bagi bidang perakaunan dan kejuruteraan di universiti.

Sementara itu, Arshad turut berpandangan pelajar UiTM mendapat kurang pendedahan terhadap cara berfikir tentang budaya yang di luar lingkungan mereka.

Kata beliau, ketika era beliau menjadi Pengarah ITM dahulu, hanya lima peratus pensyarah adalah Melayu manakala 95 peratus yang lain datang dari kaum India; Cina; Portugis; Inggeris; Jepun; Belgium; Amerika Syarikat; Jerman; Australia; Kanada malah Rusia.

Sehubungan itu, kata beliau, para pelajar lebih terdedah dengan kebudayaan dan perspektif yang lebih luas.

“Jika pelajarnya 100 peratus bumiputera dan pensyarah juga 95 peratus bumiputera, bagaimana mereka mahu dapat pendedahan kepada budaya dan cara berfikir luar selain daripada menonton televisyen dan membaca buku?” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN