Bot asing bawa 11 PATI ditahan di perairan Port Dickson - Utusan Malaysia

Bot asing bawa 11 PATI ditahan di perairan Port Dickson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON – Seramai 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia termasuk dua daripada mereka wanita ditahan semasa cuba menyeludup masuk ke Malaysia melalui perairan Port Dickson malam tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Amran Daud berkata, PATI terbabit diberkas melalui Op Khas Pagar Laut oleh Maritim Malaysia pada pukul 9.36 malam.

“Mereka cuba menyeludup masuk melalui jalan tidak diwartakan di kedudukan kira-kira 0.7 Batu Nautika dari Pulau Perjudi, Port Dickson.

“Kesemua yang ditangkap itu termasuk tekong berusia antara 24 hingga 47 tahun. Mereka disiasat mengikut Akta Imigresen dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Amran berkata, aktiviti PATI terbabit dikesan hasil maklumat risikan mendapati terdapat pergerakan masuk bot mencurigakan dari Indonesia menuju ke Perairan Tanjung Selamat dekat sini.

Kata beliau, bot peronda Maritim Malaysia kemudian berjaya mengesan dan menahan bot fiber tanpa nombor pendaftaran menggunakan enjin sangkut 60 kuasa kuda itu.

“Semasa ditahan, terdapat 11 orang termasuk tekong dan dua wanita berada dalam bot itu dan kesemuanya warga Indonesia,” katanya.

Jelas beliau, kesemua PATI terbabit termasuk bot yang ditahan dibawa ke jeti Maritim Kuala Linggi untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Menurutnya, bot itu dipercayai menjalankan aktiviti penyeludupan keluar masuk PATI melalui jalan tidak sah dari Dumai, Indonesia serta disyaki didalangi sindiket warga tempatan dan asing yang sudah lama menetap di negara ini.

“Maritim Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan telah memberkas sebanyak tiga kes melibatkan PATI sejak awal Januari lalu,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×