BN nafi terlibat sebar risalah, poster rasis - Utusan Malaysia

BN nafi terlibat sebar risalah, poster rasis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS 24 Jan. – Barisan Nasional (BN) menafikan mempunyai kaitan dengan penyebaran poster dan risalah bersifat perkauman dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands seperti yang didakwa calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran.

Timbalan Presiden UMNO yang memangku tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, poster dan risalah tersebut bukan dikeluarkan oleh pihaknya malah beliau sama sekali tidak akan membenarkan perkara itu terjadi.

“Saya tidak nampak poster tersebut dan yakin ia tidak dikeluarkan oleh BN. Itu boleh jadi perbuatan individu-individu lain. Saya tidak dapat beri komen kalau poster tersebut dikeluarkan oleh individu dan pihak yang tiada kaitan dengan parti.

“Saya berharap supaya poster dan risalah bersifat perkauman elok dielakkan. Kita mesti berkempen secara sihat yang mana kita menonjolkan kelebihan calon kita selaku anak tempatan,” katanya ketika ditemui selepas melawat dan bermesyuarat bersama MCA di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Brinchang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Manogaran mengenai risalah dan poster mengandungi perkataan ‘DAP Hindu’ dan ‘bunuh Adib’ yang tular di media sosial sejak semalam.

Bagaimanapun, tiada laporan polis dibuat Manogaran setakat ini terhadap poster dan risalah yang turut memaparkan wajahnya dan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang meninggal dunia 17 Disember lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×