ALOR SETAR 31 Jan. – Pas negeri ini bimbang sekiranya pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Sheikh ‘Umar Bagharib Ali sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan memartabatkan ideologi sekuralisme.
Pesuruhjayanya, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, ini kerana Sheikh Umar tentunya terikat dengan konsep perjuangan DAP yang dilihat lebih memartabatkan ideologi itu berbanding mengangkat Islam pada kedudukan tertinggi.
Menurut beliau, sekiranya ideologi tersebut yang lebih diangkat oleh wakil berkenaan, tidak mustahil Yadim akan menjadi alat propaganda dalam penyebaran fahaman Islam liberal di negara ini.
“Apa yang menjadi kebimbangan kepada umat Islam di negara ini ialah sekiranya pertubuhan berkenaan menjadi batu tangga atau alat propaganda penyebaran fahaman itu.
“Akhirnya ia akan memecahkan kesatuan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang selama ini mendokong penyatuan ummah Islamiyyah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Sheikh ‘Umar antara 10 ahli politik yang menerima watikah pelantikan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof selain sembilan lagi merupakan wakil rakyat dan mereka yang berjawatan dalam PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Tambah Ahmad Fakhruddin, pelantikan wakil DAP itu menimbulkan lebih banyak persepsi negatif berbanding positif dalam kalangan masyarakat Islam serta akan beransur-ansur menghakis keyakinan umat Islam terhadap peranan yang dimainkan Yadim dalam lapangan dakwah.
“Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim sepatutnya bebas daripada pengaruh politik kerana fungsi pertubuhan berkenaan adalah menyelaraskan badan dakwah yang berkomunikasi dengan semua pihak,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE










