PUTRAJAYA 14 Jan. – Terpulang kepada pengundi termasuk Orang Asli di Cameron Highlands untuk menilai kenyataan Ahli Dewan Negara, Bob Manolan Mohamad yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan kepada tok batin, baru-baru ini.
Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, paling penting Bob Manolan telah memberikan penjelasan sewajarnya berhubung ucapan tersebut dan masing-masing berhak menilai tindakan berkenaan.
“Apa-apa pun kenyataan, jangan menimbulkan salah tanggapan, lebih-lebih lagi melibatkan garisan sempadan politik.
“Namun terserah kepada Orang Asli untuk menilai kenyataan itu, paling penting dalam pilihan raya, kita (PH) mahu menang,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2019 Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Ketika diminta mengulas berhubung gambar seorang wanita memakai baju PH mengagih wang sewaktu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri enggan memberi komen berhubung perkara itu kerana tidak berada di tempat kejadian.
Katanya, mana-mana pilihan raya merupakan satu cabaran yang perlu dilalui setiap pihak dengan isu dibangkit bukan sahaja melibatkan satu pihak tetapi merangkumi semua aspek.
“PH yakin mampu membangunkan Cameron Highlands lebih daripada pusat pelancongan sekiranya calon parti itu memenangi PRK parlimen itu pada 26 Januari ini,” katanya.










