SHAH ALAM 23 Jan. – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad disifatkan terdesak mahu mendapatkan sokongan orang Melayu kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diterajuinya hingga tergamak mendakwa UMNO sudah tidak relevan.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau faham mengapa Dr. Mahathir begitu terdesak kerana Pengerusi Bersatu itu tahu bahawa masa tidak menyebelahinya, menyebabkan Perdana Menteri mahu melihat UMNO terbubar.
“Walau bagaimanapun, buat masa ini yang keluar parti adalah hanya pemimpin atasan UMNO

sahaja. Malah, Bersatu sendiri menghadapi masalah menubuhkan cawangan di mana-mana negeri sehingga terpaksa membuka kaunter di pasar tani.
“Berbeza dengan UMNO. Tiada langsung daripada 23,000 cawangan parti dibubarkan, malah semangat ahli UMNO di peringkat akar umbi juga semakin membara,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir ke program Bicara Minda di Kompleks Karangkraf di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata, yang tidak relevan bukan UMNO tetapi Bersatu sendiri kerana parti itu walaupun memegang tampuk kuasa, tetapi tidak mampu mempertahankan isu-isu melibatkan kepentingan Islam dan Melayu.
“Yang tidak relevan ialah Bersatu kerana tidak mampu mempertahankan isu-isu melibatkan kepentingan Islam dan Melayu. Ketua Armadanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sendiri menyatakan bahawa agenda ketuanan Melayu tidak relevan,” ujarnya.
Terdahulu, menjawab soalan moderator Tan Sri Johan Jaffar kemungkinan Barisan Nasional (BN) akan kekal memerintah sekiranya Pemuda UMNO memainkan peranan, Asyraf berkata, kekalahan merupakan satu iktibar dan pengajaran kepada parti.
“Kita telah ditakdirkan kalah, tetapi bukan kalah selamanya dan perlu bangkit serta tanamkan kembali idealisme perjuangan. Kita perlu jujur, mengakui kesilapan, namun jangan menyalahkan orang lain dan perlu bergerak ke hadapan.
“Bagi Pemuda, peranan yang dimainkan adalah berfungsi mengikut zaman masing-masing, namun asasnya tetap sama, iaitu Pemuda akan menjadi kumpulan pendesak yang efektif sama ada di dalam kerangka parti atau di luar parti,” katanya.











