“MASALAH yang berlaku dalam Bersatu Melaka bukan seperti di Perlis, kami bukan tidak berpuas hati dengan Pak Wan (Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof) selaku Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, cuma kami tidak mahu ia menjadi barah seperti dalam UMNO dan BN”.
Itu reaksi Ketua Srikandi Bersatu Melaka, Azalina Abdul Rahman ketika ditanya adakah kemelut dalaman parti itu sama seperti dalam Bersatu Perlis yang mahukan ketuanya ditukar.
Azalina berkata, mereka hanya membantah keputusan yang dibuat oleh Redzuan selaku ketua tertinggi parti di negeri ini kerana tindakan beliau memecat Ruslin yang terbukti menjalankan tugas dan tanggungjawab disifatkan sebagai tidak sepatutnya berlaku.
Srikandi dan Armada Bersatu Melaka melahirkan rasa kecewa dengan keputusan tersebut dan meminta Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku pengerusi parti masuk campur menangani kemelut itu.
Tetapi wujud beberapa persoalan di sini iaitu kenapa Ruslin dipecat oleh Mohd. Redzuan sedangkan mereka berdua adalah rakan karib sejak sekian lama.
“Saya memang rapat dengan beliau (Mohd. Redzuan) tapi dalam soal ini saya agak kecewa kerana tidak dimaklumkan mengenai pemecatan saya. Hanya terima WhatsApp menyatakan khidmat saya dihentikan,” kata Ruslin ketika dihubungi di Chiangmai, Thailand, hari ini.
Bagi Ruslin, bukan jawatan atau pangkat yang dikejarnya kerana beliau pernah mengemudi sebuah institusi bandar raya yang sudah pasti lebih besar cabarannya yang perlu dihadapi.
Tetapi demi penduduk di DUN Ayer Limau, sebagai anak jati kawasan itu beliau sanggup pulang berbakti di negeri kelahirannya tetapi ini yang diterimanya.
Kekecewaan Ruslin bukan kerana dipecat tanpa surat tunjuk sebab yang mengikut saluran tetapi kekecewaan beliau kerana Bersatu baginya lebih teruk daripada UMNO dan BN.
“Selama 22 tahun saya berkhidmat dengan agensi kerajaan dan mengenali Tun (Mahathir) serta Tan Sri (Muhyiddin). Saya keluar UMNO kerana ingin berbakti kepada masyarakat tetapi apabila ini berlaku, sungguh saya kecewa kerana Bersatu lebih teruk daripada UMNO dan BN,” kata-kata Ruslin yang harus diberi perhatian segera oleh pucuk pimpinan parti sekiranya tidak mahu ia terus berantakan. – UTUSAN ONLINE










