MEMILIKI wajah cantik merupakan anugerah terindah dimiliki oleh gadis kecil molek ini sehingga membolehkan dia melibatkan diri dalam dunia peragaan busana Muslimah.
Bukan semua orang bertuah untuk dipilih menjadi model kerana sudah semestinya memerlukan penampilan diri yang menarik dan mampu beraksi di hadapan kamera.
Namun, bagi gadis berasal dari Alor Setar, Kedah ini, dia berjaya membuktikan tiada yang mustahil dalam dunia ini apabila berjaya mencapai impiannya untuk menjadi model peragaan sejak enam tahun lalu.
Hanis Nabilah Mustafa Bakri, 26, mula melibatkan diri dalam dunia peragaan apabila mendapat perhatian daripada pemilik-pemilik perniagaan butik Muslimah yang memintanya untuk menjadi model produk mereka.
Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Geo Sains). Universiti Malaysia Kelantan ini, media sosial seperti Facebook dan Instagram dijadikan ‘portfolio’ bagi memaparkan imej untuk aktiviti peragaan.
“Masa itu saya tidak berfikir banyak dan terus mengambil tawaran untuk menjadi model sambilan bagi produk pakaian Muslimah seperti tudung dan baju wanita kerana saya boleh mendapat pendapatan sambilan ketika belajar di universiti.
“Tidak sangka, permulaan itu menjadi titik tolak bagi saya untuk mengembangkan lagi kerjaya sebagai model busana Muslimah secara sambilan sejak berusia 20 tahun,” katanya.
Mengulas lanjut, gadis cantik yang petah berkata-kata ini juga turut mendapat tawaran untuk meluaskan bakatnya dalam dunia lakonan apabila terpilih semasa satu sesi uji bakat yang dianjurkan.
“Sudah banyak drama dan telemovie televisyen yang pernah saya lakonkan, antaranya Papa Nak Menantu, Cikgu Dina Pakai Prada, Jatuh Cinta Buta, dan Ustaz Baru Nak Start.
“Pada mulanya saya sekadar mencuba nasib, namun siapa sangka terpilih untuk berlakon memegang beberapa watak dalam drama dan telemovie,” katanya.
Tambahnya, selain berlakon dan menjadi model, dia turut meminati bidang reka bentuk dalaman seperti menghias ruang tamu rumah menggunakan kreativiti yang dimiliki.
“Jika ada masa terluang, saya memang suka menghias rumah dengan menggunakan sedikit maklumat yang diperoleh daripada Internet dan ini menjadi terapi kepada saya,” katanya.
Dalam pada itu, Hanis Nabilah turut mempunyai impian untuk membuka sebuah empayar perniagaan sendiri dalam bidang fesyen dengan menghasilkan pakaian Muslimah dan tudung jenama sendiri.
“Insya-Allah sekiranya ada rezeki saya akan berusaha mengejar cita-cita ini satu hari nanti,” katanya.










