Berlapang dada terima keputusan - Raja Muda - Utusan Malaysia

Berlapang dada terima keputusan – Raja Muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 5 Jan. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meminta 25 imam yang ditamatkan perkhidmatan agar menerima keputusan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu dengan hati terbuka dan berlapang dada.

Baginda yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs bertitah, sebarang tindakan yang boleh menimbulkan salah sangka terhadap majlis agama itu hendaklah dielakkan kerana tidak ada sesiapa yang mendapat manfaat daripada usaha-usaha seperti itu.

“Saya penuh yakin bahawa pihak keselamatan akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi menghindarkan sebarang perbuatan daripada mana-mana pihak yang mampu mengeruhkan suasana.

“Seperti mana kita telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak-pihak yang berjasa sebelum ini, maka marilah kita memberi sokongan dan dokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pihak yang baharu dilantik. Sama-samalah kita melonjak ke hadapan demi kemajuan pentadbiran agama Islam di negeri ini,” titah baginda.

Semalam, sebahagian jemaah dari 10 buah masjid mengadakan perhimpunan secara aman bagi membantah pemecatan imam di masjid-masjid terbabit.

Sebelum itu, tular seke­ping surat dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JHEAIPs) berhubung pemecatan seramai 25 orang imam kariah di negeri ini manakala lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan.

Bagaimanapun, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin kemudian menjelaskan penamatan jawatan itu adalah untuk memberi laluan kepada golongan muda.

Sementara itu, baginda bertitah, MAIPs sentiasa menghargai sumbangan dan pengorbanan besar para imam, pegawai masjid, nazir, jawatankuasa khariah dan semua pihak terlibat menjalankan amanah yang diberikan.

Seterusnya, baginda turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap mereka dan berdoa agar Allah memberi ganjaran besar atas khidmat bakti yang dicurahkan selama ini.

Dalam pada itu, titah baginda, adalah menjadi hasrat MAIPs untuk mencapai matlamat kecemerlangan dalam pengurusan dan bagi mencapai maksud tersebut beberapa panduan telah digariskan termasuk mengenai pengendalian serta pengimarahan masjid.

“Bagi menunaikan hasrat tersebut, agensi-agensi di bawah MAIPs telah dipertanggungjawabkan untuk menjalankan fungsi dan peranan sewajarnya. Antara langkah tersebut termasuklah membuat pelantikan imam-imam serta jawatankuasa baharu di masjid seluruh negeri ini.

“Ia adalah untuk memberi suntikan nafas baharu bagi mencapai objektif yang ditetapkan oleh MAIPs,” titah baginda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN