KOTA BHARU 7 Jan. – Masyarakat diminta berhenti membuat spekulasi mengenai peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 sebaliknya perlu menghormati keputusan itu sebagai hak baginda.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, tidak ada sesiapa boleh mempersoalkan keputusan itu walaupun baginda tidak memberikan sebarang sebab peletakan jawatannya.
Mengenai tular bahawa Sultan Muhammad V meletakkan jawatan berikutan ura-ura perkahwinan dengan seorang wanita Rusia sekali gus kononnya bercanggah dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan, Mohd. Amar menegaskan tidak ada halangan untuk baginda jika mahu berkahwin dengan sesiapa sahaja.
“Tidak ada orang tahu, dan baginda pun tidak sebut, cuma bagitahu baginda letak jawatan, jadi tidak elok kita buat sebarang spekulasi, tak ada guna kita cari sebab, nak buat apa, bagi saya, saya terima macam itu sahaja
“Adapun soal kahwin itu tidak ada masalah, peraturan yang ada dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan adalah mengenai pelantikan Raja Perempuan, bukan peraturan tidak boleh (sewenang-wenang) berkahwin dengan sesiapa, itu ada beza,” katanya selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri di sini hari ini.
Antara yang tular dalam media sosial selepas peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong semalam adalah petikan Fasal 26 (1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan yang menyebut bahawa Tuanku Sultan dengan nasihat Majlis Perajaan boleh melantik Raja Perempuan Kelantan dengan syarat berbangsa Melayu, beragama Islam dan isteri yang dikahwini mengikut hukum syarak.










