Berhati-hati Syed Saddiq.. - Utusan Malaysia

Berhati-hati Syed Saddiq..

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sering kali disifatkan banyak pihak sebagai ‘budak mentah’ dalam politik.

Sebagai anggota termuda barisan Kabinet, dan tidak mempunyai pengalaman luas dalam politik, perkara itu tidaklah mengejutkan. Ditambah pula beberapa isu sama ada melibatkan peribadi atau portfolionya yang tidak dapat ditangkis sebaik mungkin sewaktu mula-mula menjadi menteri.
 
Namun begitu, kebelakangan ini, nama Syed Saddiq kembali menjadi sebutan. Harapan anak muda terhadap kredibilitinya semakin menjadi realiti. ‘Belang’ Syed Saddiq dalam membawa suara anak muda di era Malaysia baharu ini terus kedengaran.  

Bermula dengan ‘pertikaman lidah’ bersama Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Dr. P. Ramasamy dan aktivis sosial, Siti Kasim. Kini, Syed Saddiq lantang mengkritik partinya sendiri berhubung isu pemberian kontrak dan jawatan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini.

Bagi rakyat marhaen, sikap sebeginilah ditagih dalam diri seorang pemimpin. Berani menyuarakan ketidakpuasan hati supaya politik itu tidak lagi dilihat kotor. Suara seperti ini yang didambakan oleh rakyat, khususnya anak-anak muda.

Lebih membanggakan, Syed Saddiq juga tetap dengan pendiriannya. Biar apa pun yang berlaku, prinsipnya mahu melakukan pembersihan akan terus dijulang walaupun karier politik terpaksa digadai.

Sikap sebeginilah yang sewajarnya dipuji, bergolok bergadai demi amanah yang diberi kerana rakyat semakin bijak menilai keikhlasan setiap ahli politik.  

Namun, ‘Bro’ Saddiq perlu berpijak di bumi nyata. Mungkin benar Ahli Parlimen Muar ini masih ‘hijau’, naif atau belum mengerti sepak terajang dunia politik. Tidak salah bercita-cita tetapi anda perlu lebih berhati-hati.

Janganlah dek kerana mahu laksanakan angin perubahan dengan segera, akhirnya karier politik tergadai. Bukankah itu lebih merugikan negara yang sedang mendambakan pemimpin muda berkualiti masa hadapan.

Syed Saddiq perlu lebih mendalami seni berpolitik. Emosi sahaja tidak mencukupi dalam memastikan suara anda kedengaran. Perlu juga diingatkan tidak semua yang anda lakukan mampu memuaskan hati setiap orang.

Bukanlah mahu menidakkan kemampuan, namun di sinilah pentingnya kebijaksanaan. Syed Saddiq perlu memerah keringat ke arah itu.

Jangan lagi menjadi penjaga gol yang hanya diperlukan ketika diserang lawan, namun jadilah seperti Lionel Messi yang bukan sahaja menyerang tetapi juga merancang kemenangan pasukan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN