Berang kedai makan dilabel hambar, Nabila Huda mohon maaf - Utusan Malaysia

Berang kedai makan dilabel hambar, Nabila Huda mohon maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Berang dengan dakwaan seorang warganet tentang gerai makan miliknya, Waroeng Isabella yang disifatkan sebagai hambar, pelakon Nabila Huda bagaimanapun memohon maaf atas keterlanjuran katanya. 

Walaupun pada mulanya kecewa apabila gerai makan kepunyaannya diburukkan di sosial media atas alasan servis yang lambat dan dilabel indah khabar daripada rupa, Nabila atau nama sebenarnya, Nabila Huda Suhaimi, 34, membuat permohonan maaf.

“Saya minta maaf dengan kelemahan servis tidak seperti jangkaan. Saya akan cuba perbaiki.

“Saya minta maaf kerana pelanggan yang berdepan pengalaman buruk ketika datang ke kedai makan milik saya. Dari semua yang datang. Dua pertiga sahaja yang berdepan masalah,” tulis pelakon filem Munafik itu di Twitter.

Terdahulu, Nabila berang apabila seorang pengguna Twitter mendakwa kedai makan miliknya hambar apabila menunggu lama sebelum dijamu.

“Makanan Waroeng Isabella hambar. Tunggu dua jam, tapi biasa (mediocre). Pengalaman saya di sana sangat buruk,” ujar pengguna Twitter berkenaan.

Nabila kemudian membalas: “Hambar ke? Ikan gurami ini punya besar harga RM15 kata hambar.

“Jangkaan anda bagaimana? Ikan Gurami itu terbang terus ke meja apabila sudah dibayar? Anda harap ada orang suapkan ikan itu,” getus Nabila yang kecewa apabila orang menyamakan servis gerai makan miliknya itu dengan restoran mewah.

Disebabkan komen tersebut, Nabila menerima kecaman daripada kebanyakan netizen yang melabelnya sebagai tidak profesional dalam menjalankan perniagaan berkaitan perkhidmatan luar makanan dan minuman.

Waroeng Isabella diusahakan oleh Nabila bersama suaminya, Mohd. Izwan Johar yang dibuka di Rasta TTDI Kuala Lumpur. Antara menu makanan yang dijual di gerai itu ialah Nasi Ikan Gurami dan Ayam Taliwang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN