Belanja keperluan asas cukup, tapi... - Utusan Malaysia

Belanja keperluan asas cukup, tapi…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMALAM ketika melepak di kedai makan, kawan penulis senyap tidak bercakap sambil berkerut dan memegang dahi. Bukan sebab tidak dapat merokok, ketika itu belum pukul 12 tengah malam.

Sebabnya dia runsing. Dua minggu terakhir Disember ini tidak terkira wangnya yang sudah dibelanja untuk anak-anak yang akan bersekolah.

Namun bukan wang belanja anak-anak itu yang benar-benar dirunsingkan, itu sudah masuk dalam belanjawan tahunan. Rakan saya runsing kerana tiba-tiba sahaja isterinya ajak balik kampung. “Ada bakar-bakar”, kata isterinya.

Bakar-bakar dalam bahasa orang sudah berkeluarga bukan ‘benda simple’. Ia melibatkan duit dan maruah. Takkan dari Kuala Lumpur balik kampung untuk bakar-bakar tapi bawa balik lima ekor bawal hitam sahaja?

Inilah impak peningkatan kos sara hidup sebenarnya. Bagi kebanyakan orang yang sedikit beruntung, belanja untuk keperluan asas boleh dicukupkan namun akan ada perkara yang dikorbankan.

Ada yang buat kerja sambilan, ada yang ‘pulun’ kerja lebih masa sampai lenguh satu badan dan ada juga yang sanggup jadi kera sumbang tidak beriadah bersama kawan-kawan kerana poket sudah kering.

Mampu menyediakan keperluan asas tetapi kerana keperluan asas sahaja sudah menelan sebahagian besar pendapatan, ada yang terpaksa mengorbankan masa senggang, riadah, kesihatan malah pada satu tahap, masa bersama keluarga seperti rakan penulis tadi.

Bahananya, rakyat yang di luar lingkungan berpendapatan rendah pun tidak dapat menjalani kehidupan sewajarnya. Itu belum dikira mereka yang menyediakan keperluan asas pun tak mampu.

Pada ketika inilah rakyat mengharapkan kerajaan memainkan peranan yang sewajarnya.

Kurangkan berpolitik dan fokus kepada usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat. Ini bukan lagi masa untuk para menteri berwarkah kekanda-adinda.

Penulis hanya bawakan kisah golongan pertengahan (M40) kerana di Utusan Malaysia, sudah setiap hari kami mainkan isu golongan berpendapatan rendah (B40) dalam kolum Rintihan Rakyat. Harap para menteri baca dan segera ambil tindakan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN